Friday, October 23, 2009

iNi TaRbIyyAhKu

In the name of Allah, Most Gracious and Most Merciful

"Muslimat, jangan sekali-kali perasan COMEL ! Di sini bukan tempat untuk MANJA-MANJA !"

Teringat kembali saat bergerak kerja semasa masih di zaman persekolahan dulu. Di saat baru mula mengenali hidup berjemaah, inilah antara kata-kata yang sering kali dilemparkan oleh pimpinan-pimpinan ketika itu. Yang terkena, pastilah muslimat ! Pada mulanya, sakit di hati, Allah saja yang tahu. Lama-kelamaan, alhamdulillah, perubahan yang berlaku kepada diri dapat diadaptasi dengan cepat. Namun, kasihan kepada segelintir sahabiah yang sangat halus jiwanya, tidak dapat menerima tengkingan dan kata-kata kasar daripada muslimin.

Bodoh, lembap, lembik ! Antara hidangan sarapan pagi dalam satu kem suatu ketika dulu (saya tak ikut, tapi sahabat-sahabat cerita). Sampaikan ada sahabiah yang pengsan kerana tekanan fizikal.

Air mata, cerita duka dan pelbagai lagi yang menguji hati menjadi mainan kami ketika itu. Bayangkanlah, di saat remaja-remaja belasan tahun yang lain menikmati usia remaja mereka, kami bergelut di medan juang, cuba membina biah solehah, merungkai permasalahan akhlak remaja. Baru bergelar budak-budak sekolah, siapa sajalah yang mendengar kata-kata kami ketika itu. Apatah lagi berhadapan dengan keluarga, antara yang menjadi halangan utama ketika itu. Sampaikan ada sahabiah yang dipaksa membuat pilihan yang sangat menguji hati.

Demikianlah tarbiyyah yang diterima sewaktu mula-mula merasai hidup berjemaah. Namun, inilah yang dikatakan jalan seorang pejuang. Tidak ada karpet merah direntang, tidak ada bunga-bunga di kiri kanan. Yang ada hanya duri di sepanjang perjalanan. Tetapi, duri-duri inilah yang harus ditempuh untuk menuju kesenangan yang abadi di syurga nanti, insya-Allah.

Sudah berapa banyak air mata yang tumpah, sudah berapa banyak peluh mengalir, sudah berapa kali hati terasa disiat-siat dan sudah berapa kerap perasaan dikorbankan. Malu, marah, sedih, geram, kecewa dan sebagainya... Sampai satu tahap, diri seolah-olah kebal dengan segala persepsi orang. Namun, siapa sangka, inilah antara saham-saham yang hendak dibawa ke akhirat kelak. Dan siapa sangka, manisnya semua ini apabila dikenang kembali.

Setelah sekian lama, ukhuwah yang terbina kukuh adalah antara penguat yang membuatkan diri istiqamah berada di jalan ini. Yang paling utama, segala dugaan dan cabaran di sepanjang perjalanan ini menjadikan bertambah tingginya pergantungan harap kepada Allah S.W.T.. Itulah yang paling utama dan kerana itu jugalah, nikmatnya hidup di jalan ini dapat dirasai. Bersyukurlah kerana menjadi antara orang-orang pilihan Allah untuk merasai suka duka hidup di jalan ini. Bukan populariti yang dicari, tetapi ingatlah, selagi mana kita berada dalam lingkungan ini, selagi itulah kita akan berhadapan dengan masyarakat yang pelbagai.

Kerasnya tarbiyyah ini bukanlah bermakna kerasnya hati ini. Acap kali perasaan dikorbankan bukanlah bermakna hilangnya perasaan semulajadi diri ini. Kerapnya turun ke lapangan masyarakat bukanlah bermakna populariti yang dicari diri ini. Galaknya beraksi di jalan ini bukanlah bermakna hilangnya maruah diri ini. Dan banyaknya luahan hati bukanlah bermakna simpati yang dicari diri ini. Tetapi, inilah caraku, inilah jalanku, inilah tarbiyyah yang telah sekian lama dilalui... Hanya DIA yang memahami apa yang tersembunyi jauh di lubuk hati...

No comments:

Post a Comment